ANGELINA JOLIE ialah antara aktres yang memiliki bentuk kening sempurna. |
KENING ibarat bingkai gambar yang menghiasi mata seseorang. Bingkai yang tepat pastinya menjadikan mata dan keseluruhan wajah tampak lebih menarik dan seimbang.
Sama seperti potongan rambut yang diibaratkan sebagai bingkai wajah, ukuran dan bentuk kening yang tepat juga dapat meremajakan penampilan seseorang.
Walaupun bentuknya sering berubah mengikut perkembangan semasa, asas pembentukannya masih kekal sama.
Bentuk kening mestilah lebih panjang berbanding mata, supaya wajah akan nampak seimbang. Jurusolek berpendapat kening dan bulu mata merupakan ciri-ciri wajah yang paling penting kerana bentuk yang tepat mampu menjadikan mata tampak lebih besar dan wajah menjadi seimbang.
Walaupun ada yang suka menukar bentuk kening, terdapat satu perkara penting yang mesti diambil serius supaya setiap rekaan bentuk kening kelihatan seimbang dan sesuai dengan wajah, iaitu ukuran kepanjangannya.
Mengukur
Untuk menentukan kepanjangan kening, ia mestilah bermula dari hujung dalaman kening sehingga ke hujung luarannya.
Dengan menggunakan sebatang pensil, letakkan ia dalam keadaan melintang bermula di hujung bibir dan melalui tepi lubang hidung sehingga merentasi kening. Di situlah permulaan hujung dalaman kening ditentukan.
Bagi menentukan hujung luaran kening pula, letakkan pensil tadi dalam keadaan melintang sekali lagi bermula di tepi lubang hidung sehingga merentasi hujung tepi mata dan melalui kening. Di situlah hujung kening luaran ditentukan.
Setelah ukuran selesai, bulu kening yang melepasi ukuran bolehlah dicukur sebelum corak kening yang dikehendaki dilakarkan.
Namun sebelum itu, pilihlah alat cukuran yang berkualiti yang dapat memberikan cukuran licin dan tidak mencederakan kulit di sekitar mata yang sensitif.
Kening yang tidak terurus akan merosakkan solekan di wajah. Justeru, seseorang itu mestilah mengetahui ukuran kening yang tepat dan corak cukuran yang sesuai dengan wajah masing-masing.
Ini kerana, tujuan asal pembentukan kening adalah bagi membuang bulu-bulu yang tidak dikehendaki di sekitar kening dan mata supaya mata tampak lebih galak dan menyerlahkan bentuk wajah.
Untuk mengukir bentuk kening yang sesuai, bantuan pakar mungkin boleh digunakan. Bagaimanapun, sekiranya asas cukuran sudah diketahui, lebih mudah untuk mengekalkan bentuknya dengan cukuran kerap.
Periksa kening anda selang beberapa hari, kerana bulu-bulu kening akan tumbuh dengan cepat. Sekiranya dibiarkan lebih lama, tanda cukuran mungkin hilang dan cukuran baharu yang dibuat mungkin tidak tepat sekiranya tidak diukur semula.
Bagaimanapun, sekurang-kurangnya setahun sekali, dapatkan perkhidmatan profesional untuk membentuk kening anda, supaya anda dapat mengikuti trend semasa dan memastikan cukuran anda tidak terpesong daripada cukuran asal.
Justeru, penting juga untuk memastikan lebihan kening yang dicabut (sekiranya tidak dicukur), ditarik mengikut arah bulu kening itu tumbuh supaya ia kekal tumbuh mengikut arah yang sama.
Inginkan info infi terkini, klik di SINI
No comments:
Post a Comment