Friday, July 15, 2011

Wanita Pilihan Remy Ishak


POPULARITI anak muda ini memang melangkaui segala-galanya. Hanya dalam tempoh lima tahun saja Remy Ishak sudah mampu menempa kemasyhuran yang jarang sekali dimiliki oleh bakat baru sepertinya.

Dalam sekelip mata, dia dipuja dan menjadi kegilaan ramai yang mengagumi bukan hanya bakat lakonannya tetapi wajah lelaki Melayu tulen yang menjadi penyedap mata para peminatnya.

Semuanya kerana fenomena drama rantaian paling popular, Nur Kasih yang telah meledakkan nama Remy sehingga mampu berdiri setanding dengan aktor ternama negara lain.

Namun, apa yang tidak sedapnya apabila ada dakwaan mengatakan Remy kini bukan lagi seperti dulu. Dalam erti kata lain, jejaka kacak ini sudah mula berubah menjadi seorang yang bongkak, lupa diri dan merasakan dirinya seorang aktor yang hebat.

Bukan itu sahaja, ada angin sepoi-sepoi bahasa yang meniup ke telinga mengatakan anak kelahiran Masjid Tanah, Melaka ini juga telah meletakkan dirinya sebagai seorang yang cukup eksklusif.

Mendengar segala soalan dengan penuh teliti, Remy menghela nafas panjang sebelum memberikan justifikasi. Barangkali tidak mahu lagi segala kenyataan disalah erti sehingga mengundang kontroversi seperti sebelum ini.

Jujurnya, saya sendiri segan dengan publisiti. Jauh sekali untuk saya mendabik dada mahupun merasakan diri saya terbaik. Tetapi, kehadiran saya ke dalam industri bukan mahu menagih publisiti semata-mata
“Saya cukup sedar sebagai seorang artis, kisah peribadi dan gosip memang tidak dapat lari untuk diceritakan. Bagi saya, biarlah kisah peribadi itu mendapat liputan berpada-pada.
“Ingin saya jelaskan di sini, saya sendiri tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang eksklusif dan menjauhkan diri daripada sebarang publisiti.
“Dalam konteks ini, saya lebih gemar kalau cerita tentang karier saya yang mendapat tempat. Saya percaya seandainya kalau kita memberi hasil kerja yang berkualiti, publisiti akan datang dengan sendirinya,” ujar Remy sewaktu menjawab pertanyaan Hits.

Aktor berusia 27 tahun itu berkata demikian dalam satu pertemuan selepas majlis pelancaran haruman terbaru Dashing, Bold dan Edge yang berlangsung di Pusat Membeli-Belah Alamanda, Putrajaya, baru-baru ini.

Menyambung bicara, pelakon yang mula dicungkil bakatnya oleh pengarah Osman Ali ini masih lagi menganggap dia seorang yang mentah dan hijau dalam dunia lakonan.

Katanya, sepanjang lima tahun itu, denai yang dilaluinya tidak sempurna seperti mana yang disangka oleh ramai pihak kerana perlu meredah onak dan duri sebelum tiba ke destinasinya.

Tidak mahu alpa dengan kemasyhuran yang dinikmatinya kini, ada kala kata Remy, dia akan duduk bersendirian di rumah dan cuba muhasabah untuk memperbaiki kelemahan dirinya.

“Saya merangkak dan bermula dari bawah untuk mencari peluang mengembangkan bakat lakonan saya. Hanya pada tahun ketiga sahaja, barulah orang mula memandang bakat saya dan perlahan saya diterima oleh masyarakat.

“Perjalanan saya terlalu jauh dan saya sendiri mahu kekal lama dalam bidang ini. Atas alasan itu, saya harus akui saya perlu menjadi lebih selektif dalam setiap tawaran yang datang kerana tidak mahu dianggap stereotaip,” kata pemilik nama penuh Mohammad Zalimei Ishak ini penuh ini bersungguh.

4 comments:

Nizam Ijam said...

minat remy ker??haha


” Nizam Ijam Dot Com”

AyiLarimA said...

nIZAM : Mira agak minat la jugak dengan remy ni.. hihihi,, hero Malaya laa kate kan.. :)

SoLy SoLicious said...

remy ishak oh remy ishak..akhirnye tiz tiz yg dpat :)

AyiLarimA said...

huhuhu.. ni pun xsure lagi, Soly.. sekadar gosip semata mata... :)