Sumber Dari Utusan Malaysia Online
DALAM usaha untuk mendekati dan menarik golongan remaja, TV9 buat julung kalinya menganjurkan Konsert GIG secara besar-besaran yang akan diadakan pada 9 dan 10 Julai ini bertempat di I-City, Shah Alam, Selangor.
Penganjuran konsert yang akan melibatkan beberapa artis ternama tanah air adalah percaturan terbaru stesen televisyen milik Media Prima itu bagi mempelbagaikan lagi variasi rancangan terbitan mereka.
Biarpun baru pertama kali diadakan stesen yang menggunakan tagline Di hatiku itu yakin dapat menarik lebih ramai penonton terutamanya golongan remaja.
Sedar akan kepentingan bahawa golongan remaja perlu didekati, konsert dua hari itu bakal direalisasikan istimewa untuk golongan berkenaan.
“Kita sedar mereka ini sukakan muzik, jadi sejak tiga tahun kebelakangan ini, kita telah mula memberikan sajian yang dirasakan dapat memenuhi selera mereka.
“Lagi pun dengan cara ini ia lebih mendekatkan TV9 dengan golongan muda selain dapat memberikan intipati yang lebih segar untuk mereka,” kata Pengurus Besar TV9, Sherina Mohamed Nordin, ketika ditemui pada sidang akhbar konsert berkenaan, baru-baru ini.
Hadir sama pada majlis yang berlangsung di Hard Rock Cafe itu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar dan Ketua Pengurusan Perhubungan dan Analisis DIGI, Francis Chang.
Menurut Sherina, konsert itu akan membariskan artis-artis seperti Awan Band, The Azenders, Projek Pistol, Pesawat, Drama Band dan Azlan and The Typewriter.
“Mereka ini akan tampil membuat persembahan pada konsert hari pertama (9 Julai) nanti di mana persembahan mereka itu akan dirakamkan untuk siaran.
“Namun apa yang pasti, konsert yang akan bermula pada pukul 5 petang itu akan kita siarankan melalui tiga episod,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, kemuncak Konsert GIG dengan disertai oleh Wings, Aizat, Bunkface, Hujan dan 6ixth pada Ahad ini akan disiarkan secara langsung di TV9 mulai pukul 8.30malam.
Tidak cukup dengan itu, bagi menghangatkan lagi konsert itu nanti, satu pertandingan Battle Of The Band akan diadakan di mana lapan kumpulan akan berentap merebut hadiah utama berupa wang tunai RM8,000.
Sementara itu, penerbit konsert berkenaan, Ahmad Shaifullizam Arshad berkata, bagi memeriahkan lagi konsert berkenaan, satu persembahan istimewa telah dirancang untuk konsert 10 Julai ini.
Di mana pada masa itu nanti dua band yang tidak asing lagi dalam industri hiburan tanah air iaitu Hujan dan Bunkface akan di satu kan.
“Pada persembahan itu nanti, kita akan tampilkan Hujan dan Bunkface secara serentak di atas dua buah pentas yang berasingan yang telah kita reka khas bagi memberikan kelainan pada konsert ini.
“Masa itu nanti Hujan dan Bunkface akan membuat persembahan secara bergilir-gilir terlebih dahulu sebelum bersatu membuat persembahan secara serentak,” jelas Ahmad Shaifullizam.
Ditanya apakah relevannya konsert berkenaan dalam mencapai hala tuju TV9, Shaifullizam menjelaskan, konsert itu merupakan platform terbaik untuk mendekati golongan muda.
No comments:
Post a Comment